KOTA KINABALU: Perbuatan jijik seorang warga emas yang merogol cucunya sendiri sejak enam tahun lalu akhirnya terbongkar apabila mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya, baru-baru ini.
Lelaki berusia 66 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa berusia sembilan tahun.
Suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di rumah suspek di sebuah kampung di Manggatal, di sini, jam 2 petang tadi, selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada 29 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ibu mangsa pelik melihat anaknya yang kini berusia 15 tahun menangis di dalam bilik kira-kira 7 malam, pada 28 Januari lalu.
“Ibu mangsa kemudian bertanya berulang kali menyebabkan mangsa menceritakan dia dirogol oleh datuknya pada pagi 26 Januari lalu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mendakwa pernah dirogol beberapa kali oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, suspek dipercayai merogol mangsa di rumahnya ketika ibu bapa mangsa keluar bekerja.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk pemeriksaan.
“Polis menahan suspek di rumahnya kira-kira jam 2 petang tadi untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.