TUARAN: Inisiatif yang diperkenalkan setahun lalu oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berhasil mengurangkan kadar kemiskinan di sini.
“Terima kasih kepada semua; setahun lalu, saya bentuk ‘war room’, satu kamar perang dan konsep anak angkat untuk menangani isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat kita.
“War room ini hanya kita (Tuaran) yang ada di Sabah. Syukurlah, ia telah membuahkan hasil yang cukup membanggakan,” katanya.
Menurut data terkini, sudah ada 1,934 yang terkeluar, yakni termasuk penurunan miskin tegar sebanyak 9.2 peratus.
“Kita akan meneruskan inisiatif ini. Semoga usaha berterusan dan kerjasama daripada semua pihak akan beroleh kejayaan sehingga tidak ada lagi yang dikategorikan sebagai keluarga miskin di Tuaran. Ini perjuangan kita,” kata beliau.
Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata demikian kepada media hari ini ketika ditanya mengenai majlis ringkas beliau menerima watikah perlantikan dan seterusnya mempengerusikan untuk julung kalinya, Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Tuaran di Pejabat Daerah pada Jumaat lalu.
Watikah pelantikan disampaikan oleh Pegawai Daerah Mohd Sofian Alfian Nair.

“Pengagihan anak angkat kepada agensi-agensi terpilih juga sangat membantu KIR,” tambah beliau.
Madius berkata antara cadangan penambahan program tahun ini ialah membekalkan peralatan nelayan, membantu membina rumah burung walit, penglibatan anak syarikat kerajaan seperti KKIP untuk program anak angkat senarai e-Kasih, dan mempertingkatkan lagi data dalam war room.
Antara yang terlibat menjadi agensi angkat ialah Korporasi Pembangunan Desa, MARDI, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Jabatan Ketua Menteri, LKIM, Yayasan Usaha Maju, LIGS, Persatuan Peladang, Jabatan Air, MARA dan LKIM.
Mesyuarat itu telah membincangkan serta memuktamadkan pelbagai hal termasuklah mengenai pembinaan SMK Pekan Nabalu, pampasan untuk pembinaan jalanraya Telipok-Kiulu-Rondogung, pembinaan jalanraya Gonipis-Tebobon, jambatan Sungai Damit, projek bekalan air luar bandar, tapak pejabat Daerah Kecil Kiulu, tapak balai Polis baru Tuaran, serta tindakan terhadap kesesakan lalu lintas di hadapan Bataras, Tamparuli.
“Perincian semua itu akan kita umumkan daripada masa ke semasa. Secara peribadi, mesyuarat ini memang kena pada tempatnya.
“Jawatan pengerusi tidak boleh diwakilkan, dan saya komited untuk mengadakan mesyuarat menurut takwim; ini juga bermakna, semua ahli mesyuarat perlu komited dan tidak boleh hanya menghantar wakil sahaja,” tambahnya.


0 Comments
Post a Comment