LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan meneruskan Ops Sejahtera dalam usaha memastikan feri dan bot laju dari Menumbok ke Labuan mematuhi syarat lesen ditetapkan.

Operasi sempena Tahun Baru Cina (CNY), selama tiga hari bermula semalam hingga esok turut memastikan semua penumpang yang menggunakan pengangkutan itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, operasi ini dilaksanakan menggunakan bot maritim dengan kekuatan seramai lima anggota yang menjalankan pemeriksaan di dua lokasi di Jeti Terminal Feri Antarabangsa Labuan dan Jeti Feri Menumbok.

“Sepanjang hari pertama operasi dilaksanakan semalam, sebanyak 300 pemeriksaan dilakukan terhadap penumpang feri dan bot laju.

“Memandangkan hari ini adalah hari terakhir cuti sempena perayaan Tahun Baru Cina, ramai penumpang yang menggunakan laluan laut Menumbok-Labuan untuk kembali ke Labuan.

“Semua feri dan bot laju yang diperiksa didapati mematuhi peraturan yang ditetapkan dan semua penumpang mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, ketika pemeriksaan itu dijalankan, terdapat juga petugas Jabatan Kesihatan Labuan yang turut melakukan pemeriksaan ke atas penumpang antarabangsa.

“APMM memandang serius keselamatan perairan Labuan dan menyarankan orang ramai untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat jenayah dan kecemasan yang berlaku dalam perairan Labuan.

“Orang ramai boleh menghuhungi di talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.

sumber : beritasabah.com