Datuk
Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang akhbar selepas Majlis
Perhimpunan Bulanan Kementerian di Putrajaya, hari ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Bekalan topeng muka (penutup mulut dan hidung) di semua premis jualan seluruh negara adalah mencukupi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan topeng tersebut selain bekerjasama dengan semua pengusaha sama ada tempatan mahupun luar negara.
"Topeng-topeng muka ini sebahagiannya kita import dari China dan Eropah manakala sebahagian lagi adalah buatan tempatan.
"Ya, memang permintaan terhadap topeng muka meningkat, namun kami sentiasa memantau secara dekat selain bekerjasama dengan semua pengusaha," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, di Putrajaya, pada Selasa.
Kata beliau, kesemua penguat kuasa kementerian tidak akan memberi muka kepada para penjual yang cuba mengambil kesempatan terhadap kebimbangan masyarakat mengenai jangkitan koronavirus.
"Penguat kuasa akan bertindak keras dan agresif terhadap penjual-penjual berkenaan," katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan amanat dalam majlis tersebut, Saifuddin Nasution mengingatkan seluruh warga kementerian supaya tidak teralih langsung dengan isu-isu pinggiran atau picisan.
"Warga kementerian harus fokus terhadap isu-isu yang substantif dan mempunyai kepentingan langsung dengan negara," katanya.

0 Comments
Post a Comment